Thursday, August 21, 2014

KT 49

Segala yang perlu telah kami lakukan. Segala yang perlu juga pihak Tabung Haji telah sediakan. Dalam debaran dan keterujaan. Kami di panggil untuk mengambil itu, mengambil ini. Sumbangan itu subangan ini. Hadiah itu hadiah ini.

Pasport, Visa, Pemeriksaan kesihatan, Suntikan, segala yang perlu dan wajib ada telah dilaksanakan. Beg-beg pakaian, gelang besi, ubat-ubatan serta vitamin, keprluan-keperluan... semua telah kami perolehi.

Tapi ada satu yang masih kami nantikan dan agak merunsingkan... Tarikh penerbangan kami.

Monday, August 18, 2014

Dan sekali lagi.. kalau memang sudah rezeki...

Sebagai seorang yang langsung tidak bersedia, dan tidak menjangka akan menunaikan haji pada tahun ini, ada satu perkara yang saya kira menjadi masalah kepada saya - Saya tidak pernah walau sekali pun mengikuti kursus bersiri haji yang di anjurkan oleh mana-mana pihak. Tidak pernah langsung.berbanding Ma yang mengikuti kursus tersebut setiap tahun sejak 5 tahun kebelakangan ini. Bagi orang yang tidak berniat untuk menunaikan haji dalam jangka masa terdekat seperti saya, untuk apa saya mahu sertai kursus-kurus haji bersiri tersebut. Pada saya kursus yang diadakan memang perlu dihadiri oleh mereka-mereka yang mahu dan telah sedia untuk menunaikan haji, sedangkan saya pula sebaliknya. Semuanya berlaku secara tiba-tiba.

Keadaan ini merisaukan. Saya masih tidak tahu apa-apa tentang hal Haji. Jahil sangat. Mungkinlah ada beberapa hal-hal biasa tentang haji ini saya tahu, itu pun merujuk pada apa yang dipelajari ketika di zaman sekolah menengah dahulu untuk subjek agama Islam. Itupun telah banyak yang dilupa.

Kata orang, jemaah-jemaah haji selalunya akan menyaksikan keajaiban dan keanehan kuasa Allah bila tiba di sana nanti. Keanehan berupa rezeki-rezeki yang baik, atau pengajaran-pangajaran sebagai ingatan. Saya mengakui kebenaran hakikat ini. Beberapa bulan sebelum bertolak lagi saya sudah diberi dengan keajabian kuasa Allah. Bermula degan duit yang tidak cukup, boleh menjadi ckup di saat-saat akhir, dan sekali lagi apabila saya diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu sebelum musim haji benar-benar tiba. Secara percuma!

Begini... Tempat saya bekerja, akan memberikan hadiah kepada kakitangannya yang bekerja dalam tempoh 5 tahun sebagai tanda penghargaan. Hadiahnya merupakan Pakej menunaikan Umrah ke Mekah dan Madinah. Tahun saya mendapat tawaran haji tersebut merupakan tahun ke 4 saya bekerja di tempat kerja saya. Tapi, sebab memang telah ditetapkan rezeki, pengurus saya telah memberi hadiah tersebut pada tahun tersebut yang mana hadiah tersebut sepatutnya saya akan dapat pada tahun berikutnya untuk menggenapkan tempoh 5 tahun.

Allahhu Rabbi!!... Dalam keadaan saya yang benar-benar jahil tidak berilmu ini terpinga-pinga bagaimana nanti saya akan melaksanakan haji dengan hanya bergantung kepada buku-buku nota - tiba-tiba diberi peluang lebih awal ke sana untuk membuat Umrah terlebih dahulu. Di beri hadiah  untuk mengenali dahulu kawasan-kawasan Tanah Haram itu sebelum hari agung tersebut benar-benar tiba... Di ajar, di tunjuk dahulu oleh Mutawwif cara memakai ihram sejak dari KLIA, di beritahu waktu untuk meniat umrah di dalam pesawat ketika memasuki kawasan Qarnul Manazil.. Di tunjuk cara yang betul dengan bantuan Mutawwif bertawaf tujuh pusingan mengelilingi kaabah. Sebuah amali yang bukan sekadar amali.. Amali yang memang benar-benar mengelilingi Kaabah yang sebenar... bukan hanya mengelilingi replika Kaabah dalam kursus umrah yang berlansung hanya dalam tempoh sehari. Kemudian, di bimbing lagi oleh mutawwif untuk bersaie bergerak dari bukit safa ke bukit marwah berulang-ulang tujuh kali. Sehinggalah semuanya diselesaiakan dengan bertahalul.
Alhamdullillah... Ketika itu, di benak saya hanya satu - Allah memang benar-benar mahu mengundang saya menjadi tetamunya pada musim haji tahun tersebut. Sepatutnya hadiah untuk menunaikan umrah tersebut saya akan dapat pada tahun ke lima saya bekerja, Tapi Allah telah memberi rezeki tersebut labih awal. Pada Tahun ke Empat saya bekerja. Hadiah untuk menunaikan Umrah beberapa bulan sebelum haji tersebut benar-benar membantu saya menambah ilmu mengenai haji. Walaupun tidaklah sepenuhnya, tidak ada berhimpun di padang arafah, tidak ada mabit di muzdalifah, tidak ada bermalam di mina dan tidak ada melontar di jamrah... Setidak-tidaknya, saya telah tahu selok belok untuk bertawaf, bersaie dan bertahalul. Dalam keadaan saya yang memang dangkal ilmu ketika itu.. Hadiah Umrah tersebut memang sangat membantu. Kerana saya tidak pernah berpeluang mengutip ilmu dari kursus-kursus haji beberapa tahun kebelakangan, Maka Allah telah membuka cara untuk saya memperoleh ilmu tersebut, dengan mengundang saya menjadi tetamunya untuk menunaikan umrah.

Setelah itu, maka saya memulakan menambah lagi ilmu tentang haji sedikit demi sedikit. Dalam waktu yang singkat sebelum berlepas. Tidak banyak yang saya boleh lakukan. Ditambah dengan sibuk dengan kerja-kerja harian. Segalanya saya lakukan hanya dengan pembacaan buku-buku mengenai haji.

Dan satu-satunya Kurusu haji yang saya adalah kursus Haji Perdana. Kursus haji 2 hari anjuran Tabung Haji sendiri, yang di adakan di masjid negeri tiap-tiap negeri. Untuk saya yang tinggal di Pahang, sudah tentulah kursus tersebut dijalankan di Masjid Besar Kuantan.

Kursus itu juga sangat membantu. Segalannya di ajarkan sekali gus di dalam satu kursus selama 2 hari. Segala teori, bacaan-bacaan, dan bersama amali sekali di tunjukkan di dalam kursus singkat ini.

Alhamdulillah, 2 hari kami Jemaah Jemaah dari negeri Pahang berkampung bermalam di masjid tersebut. Cuma mendalami bagaimana gayanya suasana apabila di sana nanti.




Kalau sudah rezeki..

Menerima tawaran untuk menunaikan haji dalam keadaan yang langsung saya tidak bersedia memang merunsingkan. Tidak bersedia dari segenap sudut. Mental, fizikal, Jasmani, rohani malah dari segi wang ringgit sekalipun. Saya mengisi borang haji, setelah Ma mendapat surat 'terpilih' sebagai jemaah haji bersama Tabung Haji pada tahun itu. Ma di berikan borang untuk diisi samada mahu menerima atau menolak tawaran tersebut. Tetapi mana mungkin ma mahu menolak setelah bertahun-tahun lamanya menunggu peluang itu. Untuk itu, ma perlu mengisi satu bahagian borang untuk memberitahu Mahram yang akan pergi bersamanya kerana Ma adalah ibu tunggal dan pihak Tabung Haji memberi peluang kepada Ma untuk memilih Mahram untuk menjaga kebajikan Ma ketika di Tanah Suci.

Ketika ditanya siapa yang akan menemani Ma, saya tidak terus menawarkan diri. Membuka ruang kepada adik beradik yang lain dahulu kalau-kalau ada yang mahu menamani. Ada beberapa sebab yang membuatkan saya tidak terus menawarkan diri. Pertamanya, saya sebagai anak yang ke empat dalam adik beradik, punya tiga orang abang lagi di atas saya, jadi biarlah yang lebih tua dahulu diberikan hak tersebut. Keduanya, saya memang tidak bersedia... Langsung. Malahan keinginan saya untuk ke tanah suci pun tidaklah terlalu kuat saya rasakan. Hanya keinginan yang biasa-biasa sahaja. Malahan, buku akaun tabung haji pun saya tidak punya. Sedangkan untuk mengisi tempat sebagai Mahram kepada jemaah yang terpilih syaratnya adalah perlu mendaftar Haji terlebih dahulu. Iaitu, bukan setakat perlu ada akaun Tabung Haji, tetapi perlu ada simpanan sekurang-kurangnya RM1300.00 dia dalam akaun untuk syarat mendaftar haji. Dengan kata yang lebih mudah, saya kurang berminat untuk menunaikan Haji dalam usia saya yang masih agak muda. Kalau saya mahu pergi pun, biarlah pada usia saya 50 tahun dan ke atas. Begitu!!

Namun begitu, dalam keadaan tidak berapa berminat, saya tetap membuat keputusan kalau tidak ada sesiapa yang mahu menemani Ma, tidak mengapalah... Biar saya yang mengisi tempat tersebut. Tetapi kalau ada sesiapa yang mahu, biarlah orang yang mahu itu mengambil peluang itu.

Akhirnya... Along tidak dapat pergi, kerana punya keluarga dan keperluan untuk keluarga perlu diutamakan memandangkan Along juga tidak bersedia dari segi wang ringgit. Abang Ngah juga begitu. Alang walaupun masih tidak berumahtangga juga tidak mahu menerima, masih atas alasan masalah keewangan. Adik saya juga tidak mahu atas alasan keluarga dan kewangan. Apatah lagi isterinya baru melahirkan anak. Begitu juga adik-adik yang lain, walaupun masing-masing nampak berminat, tetapi tawaran tersebut datang secara tiba-tiba di mana keadaan masing-masing langsung tidak bersedia mental dan fizikal.

Begitulah caranya Allah mahu memberikan rezeki itu kepada saya. Seperti yang saya persetujui, sekiranya tidak ada sesiapa yang mahu mengambil peluang tersebut,biarlah saya yang menemani Ma ke tanah suci menunaikan ibadah haji tahun itu.

Nama saya telah diisi sebagai mahram yang akan menemani Ma. Saya perlu membuka akaun tabung Haji dan mendaftar haji dengan kadar segera sebelum borang tanda persetujuan untuk menerima tawaran haji tersebut Ma pulangkan ke Tabung Haji Bahagian. Setelah itu satu surat rayuan juga perlu dihantar ke Tabung Haji. Semua peraturannya saya telah lakukan. Membuka akaun dengan jumlah simpanan yang genap-genap untuk saya mendaftar haji.  Membuat surat rayuan untuk menjadi Mahram dan meyerahkan kepada pihak Tabung haji, kerana begitulah peraturannya. kemudian berserah kepada Allah,agar diberi peluang.

Tempoh saya menunggu tidak lama. Sebenarnya saya tidak menunggu pun. Membuka akaun, mendaftar haji, mengisi borang-borang tertentu, dan membeiarkan saja. Tidak menaruh harapan yang tinggi. Tetapi caranya memang begitu, sesiapa yang mendaftar haji atas dasar untuk menjadi Mahram kepada Jemaah haji yang telah terpilih, dia akan terpilih sama pada tahun tersebut. InsyaAllah. Saya mendaftar Haji pada bulan Januari 2013, pada bulan Mac tahun yang sama saya telah terpilih sebagai Haji. Tidak sampai 3 bulan pun. Kalau diikutkan waktu yang sebetulnya mengikut tarikh daftar haji, saya sepatutnya diterima menunaikan haji bersama tabung haji pada tahun 2057.. Allahu Rabbi!!  40 tahun lagi dari tarikh daftar haji tersebut. Lambatnya. Tapi itulah. Kalau sudah ditetapkan rezeki. Allah permudahkan. tempoh 40 tahun menjadi satu tempoh tidak sampai 3 bulan pun. Alhamdulillah. Allah juga penentu segalanya.

Saya dipanggil ke Tabung Haji Daerah Maran untuk mengambil surat tawaran dan surat menjawab samaada setuju atau tidak menerima tawaran tersebut. Oleh kerana masa yang suntuk, kerana saya telah dipilih sebagai Mahram kepada jemaah yang terpilih yang telah menghantar borang sejak hampir 3 bulan yang lalu, pihak Tabung haji sendiri tidak punya masa lagi untuk proses penghantaran melalui pos seperti kebiasaan. Untuk itu saya perlu mengambil sendiri segala surat surat dan dokumen-dokumen yang berkenaan.

Pada ketika itu, wang simpanan saya hanya ada 2000.00 sahaja di dalam akaun Tabung Haji... Timbulah satu masalah, yang mana untuk menjawab saya menerima surat tawaran tersebut, saya perlu memenuhkan jumlah keseluruhan harga untuk menunaikan haji pada tahun tersebut. Nilainya setelah ditolak dengan subsidi dari kerajaan, ialah 9980.00. Dan jumlah itu perlu disediakan dalam tempoh 5 hari sahaja bermula dari tarikh saya mengambil surat tawaran. 5 hari masa diberi kerana saya memang perlu menjawab samaada untuk menerima tawaran tersebut sesegera yang mungkin...

Hati mula runsing. Dengan simpanan yang baru mengjangkau RM 2000.00, dan tempoh diberi untuk menjawab hanya 5 hari, dan untuk menjawab saya perlu memgenapkan simpanan menajadi 9980.00. Beerti, saya perlu mencari 7980.00 lagi hanya dalam tenpoh tidak sampai satu minggu. Terasa bagai harapan tidak akan kesampaian buat seketika. Mana saya mahu cari wang sejumlah itu. Jika tempoh diberi lebih panjang, tidaklah menjadi soal sangat, tapi dalam tempoh 5 hari.

Saya maklumkan kepada Ma mengenai masalah tersebut. Ma juga tidak dapat membantu, memandangkan Ma sebagai jemaah yang telah terpilih sudah tentunya memerlukan lebihan wang di dalam akaun tabung haji sebagai persiapan untuk sebarang kemungkinan di Tanah Suci nanti.
Sehari dua, saya termangu-mangu tidak tahu apa yang perlu dibuat. Mahu dibuat pinjaman, siapa pula akan hulurkan jumlah tersebut memandangkan semua rakan-rakan saya juga pekerja biasa seperti saya yang tidak punya wang simpanan yang banyak. Apatah lagi wang perlu disediakan dalam kadar yang segera.

Saya utarakan masalah tersebut kepada seorang sahabat saya. Kemudian dia memberi cadangan, kenapa tak keluarkan duit dari simpanan KWSP. Sebab KWSP sekarang memberi kemudahan untuk mengeluarkan simpanan untuk kegunaan memenuhkan Akaun Tabung Haji.dengan syarat, individu tersebut memang telah terpilih untuk tunaikan Haji pada tahun tersebut.

Saya sedikit lega. Benarkah?. Harapan kembali pulih. Saya pun membuat semakan melalui internet mengenai pengeluaran duit KWSP untuk menunaikan haji. Ya! jawapannya memang ada. Dengan terma dan syarat yang tertentu, pemohon boleh mengeluarkan sejumlah - Maksima 3000.00 rm dari akaun simpanan ke 2.

Saya mencuba cara tersebut. Mengeluarkan duit simpanan KWSP untuk dipindahkan ke akaun Tabung Haji. Setelah diteilti dan saya menepati syarat, maka Alhamdulillah, sejumlah 3000.00 telah dipindahkan ke akaun tabung haji, menjadikan wang simpanan asal yang berjumlah 2000.00 menjadi 5000.00. Bermaksud saya perlu mencari 4980 ringgit lagi untuk menggenapkan nilai.Sedangkan waktu semakin suntuk.

Tapi kalau memang sudah ditetapkan rezeki. Kalau memang telah di undang Allah. Dari arah mana-mana sekalipun Allah akan tunjukkan jalan. Adik saya yang berada di Kepong menelefon saya untuk membantu. Dia juga baru keluarkan duit dari KWSP atas tujuan pembelian rumah. Jadi katanya, mahu tak kalau dia pinjamkan dahulu duit sebanyak nilai yang saya perlu. AllahuRabbi. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Serta merta tanpa berfikir panjang saya setuju. Alhamdulillah... Duit simpanan akhirnya cukup pada saat-saat kecemasan. Pada minit-minit terakhir tempoh 5 hari yang diberikan. Ah! Maha Besar Allah yang menentukan rezeki. Saya serahkan borang menerima tawaran untuk menunaikan haji pada hari terakhir tempoh di beri... Alhamdulillah.

Sunday, August 17, 2014

Bagaimana Kisah Kembara bermula...

Siapa pun kita, bagaimana pun kita, hidup kita tetap ditentukan dengan kisaran takdir-takdir Allah. Dan salah satu dari tkadir tersebut digelar Rezeki...

Petang itu saya ketika di tempat kerja, saya mendapat satu panggilan telefon. dari nombor yang tidak dikenali. Tabiat yang tidak berapa elok yang saya ada antaranya ialah saya taidak akan menjawab sebarang panggilan telefon dari nombor yang saya tidak tahu siapa pemiliknya.

Tapi, petang itu saya tergerak untuk menjawab panggilan tersebut...
Lalu si pemanggil pun menceritakan tujuannya menelefon saya. Menceritakan serba sedikit tentang berita penting yang memang perlu disampaikan.

Selesai perbualan kami, yang agak ringkas si pemanggil mematikan talian. Manakala saya masih tergamam. Dada berdegup, roma meremang, sebak, terharu, gembira, seronok. Rasa-rasa tersebut bercampur aduk.

Berita yang disampaikan tadi sangat memeranjatkan. Antara percaya dengan tidak 'Saya terpilih untuk menunaikan Ibadah haji bersama muasasah pada tahun ini'....
Tanpa sedar, mata mula bergenang.
"AllahuAkbar!!. Syukur ya Allah..."

Khabar itu serta merta saya beritahu kepada Ma (emak) yang ketika itu sedang berada di Kuala Lumpur kerana yang terlintas di fikiran saya waktu itu - "Ma kena tahu dulu".

"Syukur Alhamdulillah..." itu ayat yang keluar dari Ma di hujung talian ketika saya khabarkan berita indah itu.
"Lepas ni kita sama-sama kumpulkan duit".. sambung Ma lagi.


Rezeki. Kalau memang telah tertulis ditentukan menjadi hak kita, apa jua halangan ia tetap akan menjadi hak kita. Kalau masih belum ditentukan, apa jua ikhtiar dan usaha selagi masanya belum tiba kita tak akan mendapatnya. Tapi usaha kena sentiasa ada. Azam, Ikhtiar, ikhtiar dan ikhtiar lagi. Berdoalah kemudiannya. Dan bertwakallah. Serah segala-galanya kepada Allah.
Kerna itulah, apabila saya menceritakan pada kenalan-kenalan saya tentang saya terpilih sebagai jemaah yang akan menunaikan haji pada tahun ini ramai yang terkejut dan tertanya-tanya. bagaimana seorang yang diusia saya, boleh dikira sebagai masih muda tiba-tiba mendapat tawaran yang hebat tersebut. Ya! kalau memang sudah rezeki. Walaupun ada berlaku beberapa 'sebab yang menyebabkan akibat' tapi itu adalah cara Allah untuk membuatkan rezeki tersebut sampai kepada saya.

Bila sebut soal rezeki juga, saya terkenangkan Arwah ayah. Sebenarnya, atas ikhtiar dan usaha ayahlah rezeki ini menjadi milik saya. Dia usaha, dia ikhtiar dia berdoa, dia berazam dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan ibadah rukun Islam yang ke lima ini. Saban tahun ayah menunggu, saban musim dia menanti. Seusai Setiap kali musim haji, hati menjadi sayu. Usia hampir separuh abad, tetapi ayah belum berkesempatan untuk menunaikannya. Namun ayah tidak pernah putus asa, ayah bersama-sama lain umat Islam yang senasib terus berusaha, berazam dan berdoa. Berdikit-dikit dalam berbelanja, menyimpan tenaga, membina kesihatan, menyuburkan cinta, memperhaluskan adab dan akhlak sebagai bekal ke sana suatu hari nanti.

Pernah pada satu tahun, ayah dan ma mendapat surat dari tabung haji yang memberitahu status mereka sebagai yang 'menunggu'. Kami adik beradik mula menaruh harapan yang berbunga-bunga. Ayah dan ma gembira bukan kepalang. Saya sendiri terasa bagai mahu bersorak riang... itulah. Betapa tinggi harapan kami untuk melihat ayah dan ma pergi ke sana. Harapan ayah dan ma lebih-lebih lagi.
Pada tahun tersebut atas nasihat beberapa kenalan, ayah dan ma mula membuat sedikit persediaan. Membuat Pasport antarabangsa, mengambil ubat suntikan di klinik kesihatan. Manalah tahu kalau tahun itu memang benar-benar ayah dan ma di terima pergi ke tanah suci, tidaklah kelam kabut sangat. kerana persiapan telah dibuat.

Namun status 'menunggu' tersebut memang lah untuk terus menunggu. Sehingga hujung Syawal ayah dan ma termasuk kami menunggu. Tiada sebarang jawapan lagi. dan terus diam. Tapi, putaran hidup manusia memang berkisar juga dengan perjalanan takdir Allah yang di gelar Rezeki. Akhirnya, kami semua mendapat tahu nama ayah dan ma tidak termasuk dalam senarai yang terpilih. Kami hampa. kecewa. Ayah redha. Rezekinya masih belum tiba.

 Tapi dalam sabar, ikhtiar dan doa yang berterusan itu, kesihatan ayah makin merosot. Semakin hampir ke waktu yang dinantikan ayah semakin tidak bermaya lemah dan lesu. Ketika kami menyemak senarai nama jemaah melalui internet, nama ayah dan nama Ma diterima sebagai jemaah haji muasaah pada tahun 2013. Hanya tinggal 2 tahun sahaja lagi, kami berdoa adik beradik semoga ayah dan ma diberi kesihatan yang baik untuk waktu itu. Hanya 2 tahun sahaja lagi setelah lama menanti....

Takdir Allah mengatasi segala-galanya. Kita usaha, kita ikhtiar dan berdoa. Berserah dan bertawakal. Sesungguh mana pun kita merancang, Allah juga sebaik-baik perancang. Yang mana setiap rancangan kita juga telah termasuk dalam rancanganNya. Walau apa pun, Allah tahu yang terbaik, Ayah kesihatan ayah yang semakin merosot membawa kepada kematiannya. Ayah dipanggil menemui Allah pada tahun 2012. Hanya setahun sahaja lagi yang tinggal untuk dia menunaikan impiannya.

Sebenarnya, pada tahun tersebut Ma yang bersungguh mahu membawa juga Ayah ke Tanah suci, telah menempah untuk membuat umrah. Nama telah di beri, bayaran telah dibuat kain ihram dan kelengkapan telah tersedia. Ayah dan Ma kalau ikutkan jadualnya, akan berlepas menunaikan umrah pada bulan  April 2013. Pun begitu segala-gala hal urusan hidup kita manusia masih tetap tertakluk dalam rancangan Allah, Ayah di ambil olehNya pada bulan Mac, hanya sebulan sahaja lagi untuk tiba pada tarikh dia menunaikan Umrah. Selagi Allah tidak mengizinkan. Tidak akan berlaku walau satu apa perkara pun.

Kata seorang kenalan, semua usaha ayah selama ini untuk menunaikan rukun islam ke lima itu telah pun Allah kira, bermula dari niatnya, hari daftarnya, ikhtiar-ikhtiarnya, usaha dan doa-doanya Allah tak akan sia-sia kan.

Saya yakin, cinta Allah itu bukan hanya di akhir tujuan, tetapi sudah ada ketika kita melangkah memulakan perjalanan…  Semoga saat kematian datang setelah kita sempat menunaikan Haji atau mati semasa kita sedang berusaha untuk menunaikannya di sana. 

Teringat makna haji – ertinya menuju. Haji ertinya menuju Allah, dan bukankah kematian itu juga ertinya menuju Allah – pulang ke rahmatullah? Oh, betapa ramai yang belum pergi tetapi hatinya telah pergi. Dan betapa ramai pula yang telah pergi tetapi hatinya belum? Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan mereka yang telah pergi dengan membawa hatinya sekali…

Saturday, August 16, 2014

Lagi Biru Cerah Nan Indah Kota Makkah

Khamis, 13 November 2014, awal dinihari. Kereta yang saya naiki dipandu oleh adik ipar saya bebas laju meninggalkan kumpulan robongan yang baru tiba dari Madinah di KLIA. Jalanraya Tol yang agak lengang. Sepanjang-panjang jalan melalui Bandaraya Kuala Lumpur untuk terus ke desa halaman terus tanpa gangguan. Waktu dinihari begini pastinya memang tiada kesesakan. 
Lampu papan iklan yang besar-besar di pinggir jalan itu dengan beraneka produk yang ditawarkan, juga lampu-lampu berwarna-warni penuh bergayutan di sana-sini  telah memastikan saya bahawa saya sudah benar-benar kembali ke negeri tercinta. Saya seperti kembali dari sebuah keterasingan menuju peradaban. Sirih pulang ke gagang.. belut pulang ke lumpur


Begitulah.. 47 hari lamanya saya tak pernah tahu sama sekali tentang keadaan tanah air. Kecuali tentang keluarga terdekat yang selalu mengutus cerita bertanya cerita melaui SMS dan sekali dua berhubung bicara dengan telefon. Intenet saya buka hanya melalui telefon kecil yang tidak secanggih mana hanya untuk berFaceBook sesekali. Tidak pernah menonton berita, baca surat khabar, atau menonton televisyen. Kalau ya pun ada menonton, siaran di bilik Hotel hanya berkisar tentang acara langsung yang sedang terjadi di Masjidil Haram.. Atau drama-drama tv berbahasa Arab.

Dalam hari-hari itu saya merasa benar-benar hanya disambung dengan langit. Berusaha menghapuskan sisi-sisi kelam apa yang ada pada diri dan untuk semata-mata mencari redha Allah. Atau lebih mudahnya adalah, di sana hanya untuk ibadah, ibadah dan ibadah. Dengan segala kesungguhan dan harapan Allah memandang dan mendengar setiap titip doa dan harapan saya.

Banyak catatan perlu dicatatkan. Tapi lebih dari 40 hari itu tidak ada satu apa pun yang saya tulis. Menulis tentang apa-apa. Tak ada buku diari yang penuh dengan coretan seperti catatan harian Justeru saya memang bukan seorang penulis.  Akhirnya semua saya rakam dengan mata lalu disimpan di otak. Dan yang saya rasakan sekarang adalah betapa kapasiti otak ini sudah tak boleh lagi untuk menahan beban mati ini. Harus segera dikeluarkan. Maka akhirnya saya menulis. Sebelum rakaman-rakaman kenangan kembara agung yang semakin susut dari lipatan ingatan itu terus saya terlupakan.

Menulis begitu banyak pengalaman yang ada. Begitu banyaknya yang menarik, baru, dan ingin saya ceritakan itu membuat saya keliru untuk memulakan dari mana. Tetapi yang pasti akan ada yang tertulis, insyaAllah walau tidak sistematik mengikut plot yang sebenar. Saya hanya menulis yang saya sedang suka, hampir lupa, dan harus segera dituliskan. Mudah-mudahan dengan tulisan sederhana saya ini boleh bermanfaat kepada yang lainSeperti langit biru di atas Makkah yang menerima semua yang tertuju padanya. Lalu terimalah catatan sederhana saya. Insaf sang kerdil-kembara agung-mencari redha-menuju Allah.